fbpx

Usaha sama Felda, Agrobank sedia RM100 juta untuk Program Pembangunan Peneroka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menandatangani perjanjian kerjasama Model Baharu Program Pembangunan Peneroka (PPP) Felda bersama Agrobank melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM100 juta.

Usaha sama tersebut memfokuskan kepada pelaksa­naan projek berskala besar dan bernilai tinggi bagi meningkatkan pendapatan warga peneroka dengan penglibatan pemain-pemain industri yang bernaung di bawah Agrobank.

Model baharu itu menggariskan bahawa pemain industri akan membeli semula hasil yang dike­luarkan, selain turut terlibat dalam pengurusan operasi projek bagi menyelesaikan isu kemam­puan warga peneroka berumur untuk menguruskan kerja pertanian.

Melalui kerjasama tersebut, Felda akan mengenal pasti lokasi, kumpulan sasar daripada kalangan peneroka dan koperasi rancangan, manakala Agrobank akan menilai kesesuaian tapak dan mencadangkan jenis projek serta pemain industri yang bersesuaian.

Setiap peneroka atau koperasi yang layak akan menerima geran daripada Felda bagi kos modal tertakluk kepada nilai maksimum RM20,000 berdasarkan penilaian Agrobank dan operasi pula akan dibiayai oleh pihak Agrobank dengan jaminan daripada Felda.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, secara ke­seluruhan, projek usaha sama itu menyasarkan penglibatan 100 buah koperasi peneroka dan 500 individu.

“Ia dijangka memberi tambahan pendapatan sebanyak RM1,000 hingga RM1,500 bagi setiap peneroka dalam bentuk dividen tahunan bagi projek koperasi, manakala RM500 hingga RM1,000 sebulan bagi projek individu.

“Sehingga kini, projek yang te­lah disenaraikan adalah penanaman nanas MD2, penanaman cili secara fertigasi dan halia muda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena maj­lis menandatangani perjanjian berkenaan di Menara Felda di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar.

Sementara itu, Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang berkata, program itu akan membuka peluang baharu kepada komuniti peneroka untuk meneroka peluang pertanian yang berpotensi besar, seterusnya menjana pendapatan lumayan.

“Agrobank terus komited dalam memacu pembangunan golongan sasaran dan komuniti setempat dengan menyediakan pembiayaan menyeluruh kepada komuniti Agro yang me­rangkumi pem­biayaan rantaian penuh dari pada pembekalan hasil pertanian hingga ke pemprosesan dan penjualan produk pertanian,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI