fbpx

Cheng Hoe panggil 28 pemain sertai kem latihan pusat di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHENG HOE (kanan) memanggil 28 pemain untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selama sembilan hari di Johor Bahru, Johor bermula 22 hingga 30 Mac ini.

KETUA jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe memulakan gerakan pertama dalam menyiapkan barisan terbaik negara apabila memanggil 28 pemain untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selama sembilan hari di Johor Bahru, Johor bermula 22 hingga 30 Mac ini.

Ia sebagai persiapan skuad Harimau Malaya menjelang baki tiga perlawanan terakhir Kumpulan G bagi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan diadakan secara berpusat di Emiriyah Arab Bersatu (UAE). 

Dalam senarai tersebut, Cheng Hoe turut memanggil pemain naturalisasi baharu Malaysia buat kali pertama, Guilherme De Paula, namun menegaskan tidak dapat memangil Liridon Krasniqi serta bekas pemain tengah Harimau Malaya, Junior Eldstal berikutan kekangan kerana kedua-dua mereka kini beraksi di kelab luar negara.

“Saya tidak memanggil Krasniqi (Newcastle Jets) dan Eldstal (Chonburi FC) kerana tempoh kuarantin untuk masuk ke Malaysia dan kembali ke Australia dan Thailand menjadi kesukaran untuk mereka menyertai kem latihan pusat kali ini.

“Lagipun kedua-dua pemain ini saya lihat sedang meningkatkan persembahan dan prestasi masing-masing bersama kelab baharu mereka.

“Jadi, saya kira lebih baik mereka menyertai kem latihan pusat pada Mei nanti dengan prestasi yang lebih baik selepas mendapat aksi minit permainan pada Liga Australia dan Liga Thailand.

“Bagi Luqman Hakim pula, memang dari tahun lepas kita rancang mahu panggil dia sertai kem latihan pusat ini. Jadi, ini peluang terbaik untuk kita melihat tahap fizikal, keyakinan dan corak permainannya selepas lebih enam bulan bersama KV Kortrijk di Belgium,” kata Cheng Hoe.

Pengendali berusia 53 tahun itu turut menjelaskan bahawa tempoh sembilan hari kem latihan pusat kali ini penting untuk meningkatkan semula persefahaman para pemainnya sama ada di dalam dan juga di luar padang.

“Ini masa terbaik untuk kami fokus terhadap persiapan pasukan kerana apabila kami berkumpul pada Mei nanti, kita sudah tiada banyak masa untuk latihan kerana perlu fokus dengan persiapan tiga perlawanan terakhir kelayakan.

“Jadi, kesempatan selama sembilan hari yang ada ini akan saya gunakan sepenuhnya untuk memberitahu kepada para pemain tentang perancangan kita pada Mei nanti dan apabila mereka datang ke kem latihan pusat pada Mei, semua sudah bersedia dan benar-benar fokus untuk aksi bertemu UAE, Vietnam dan Thailand itu,” jelas Cheng Hoe.

Pasukan negara akan menentang UAE dalam aksi pertama pada 3 Jun, diikuti Vietnam pada 11 Jun dan menutup kempen dengan bertemu Thailand, 15 Jun.

Senarai 28 pemain yang dipanggil kali ini adalah terdiri daripada 11 pemain baharu iaitu dua penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United FC) dan Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC); Rizal Ghazali (Kedah Darul Aman FC), Irfan Zakaria (Kuala Lumpur City FC), Fazly Mazlan (Sri Pahang FC), Faisal Halim (Terengganu FC), Nazmi Faiz Mansor (Johor Darul Ta’zim FC), Ramadhan Saifullah Usman (Johor Darul Ta’zim FC), Shahrel Fikri Md Fauzi (Selangor FC), Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk) dan pemain naturalisasi terbaharu negara, Guilherme de Paula (Perak FC). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI