MADRID – Gergasi Sepanyol, Real Madrid kembali diperkuatkan dengan kehadiran semula kapten, Sergio Ramos menjelang aksi timbal balik pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara menentang Atalanta di Estadio Alfredo Di Stefano awal pagi esok.
Ramos, 35, terlepas dua bulan aksi bersama Real disebabkan kecederan lutut termasuk ketika menang 1-0 ke atas Atalanta hasil gol tunggal Ferland Mendy sewaktu pertemuan pertama di Stadium Gewiss bulan lalu.
Tonggak pertahanan berpengalaman itu juga dilihat seakan-akan sudah kembali mencapai tahap kecergasan terbaik selepas turun bermain selama 60 minit bersama Real ketika menewaskan Elche 2-1 pada aksi La Liga, Sabtu lalu.
Ketua jurulatih Real, Zinedine Zidane pastinya menyenaraikan Ramos dalam kesebelasan utama dan mengharapkan bintangnya itu beraksi cemerlang menentang Atalanta selepas hilangan khidmat Casemiro yang menjalani penggantungan untuk aksi itu.
Bagaimanapun, situasi itu masih belum menjamin masa depan Ramos bersama pasukan itu selepas dia dikatakan tidak bersetuju dengan tawaran kontrak baharu.
Difahamkan, Ramos yang sudah bersama Real sejak 2005, mahu menerima lanjutan kontrak baharu selama dua tahun dengan bayaran gaji sama diterima sekarang iaitu £312,000 (RM1.78 juta) seminggu.
Sebaliknya, Perez cuma sanggup membayar bayaran sama selama setahun atau Ramos perlu menerima 10 peratus potongan gaji jika mahu ditawarkan dua tahun perjanjian baharu.
“Saya harap situasi antara Ramos dan pihak pengurusan dapat diselesaikan segera. Dia adalah kapten dan juga watak penting buat pasukan ini,” kata Zidane. – AGENSI