MILAN – Bintang sensasi Juventus, Cristiano Ronaldo meredakan spekulasi mengenai perpindahannya apabila meledak hatrik ketika pasukan itu membenam Cagliari 3-1 pada aksi Serie A awal pagi semalam.
Pemain berusia 36 tahun itu meledak jaringan tersebut dalam tempoh 32 minit apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-10 menerusi tandukan sebelum menyempurnakan sepakan penalti kira-kira 15 minit kemudian.
Ronaldo kemudian melengkapkan hatriknya pada minit ke-32 apabila berjaya melepaskan sepakan kaki kiri yang berjaya menerjah gawang sekali gus menutup mulut para pengkritik yang menuduhnya gagal membantu Juventus selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara.
Gergasi Itali itu tersingkir seawal pusingan 16 pasukan terbaik apabila ditewaskan FC Porto yang mara dengan kelebihan gol di tempat lawan selepas terikat dengan agregat 4-4.
Kemenangan itu menyaksikan Juventus kini berada di kedudukan ketiga Serie A dengan meraih 55 mata dan kekurangan 10 mata berbanding Inter Milan.
Hatrik tersebut juga menyaksikan Ronaldo berjaya mengumpul 770 gol sepanjang karier dan sekali gus mengatasi catatan rasmi jaringan yang dilakukan oleh legenda Brazil, Pele yang mengumpul 767.
Ronaldo kini mendahului senarai penjaring Serie A dengan 23 gol musim ini, mengatasi Romelu Lukaku dengan 19 gol.
Kapten Portugal itu berjaya meledak 450 gol bersama Real Madrid, 118 gol bersama Manchester United, 95 gol di Juventus, manakala lima lagi gol ketika menyertai Sporting Lisbon.
Selain itu, dia juga turut meledak 102 gol untuk skuad kebangsaan Portugal. – AGENSI