Oleh YATIMIN ABDULLAH
PERTEMBUNGAN Kelantan FC dengan Terengganu FC II (TFC I) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini disifatkan sebagai aksi hidup mati oleh pengendali The Red Warriors (TRW), Marco Ragini.
Ragini berkata, TFC II berada di kedudukan terbaik selain memiliki ramai barisan berkualiti dan konsisten dalam setiap perlawanan yang diharungi sebelum ini.
Menurutnya, beliau mahu merencanakan ramuan terbaik bagi memastikan misi mencuri mata mampu diraih dalam perlawanan itu nanti.
“Kedatangan kami ke sini (Terengganu) dengan tujuan untuk mendapatkan mata kerana semua perlawanan amat penting. Kami mahu menutup tiga aksi di tempat lawan dengan meraih mata penuh untuk memburu kedudukan terbaik pada Liga Premier,” katanya.
Ragini memberitahu, beliau bersama barisan jurulatih dan pemain nekad menghadiah kemenangan ke atas TFC II nanti kepada pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman.
Katanya, barisan pemain Kelantan FC perlu memperagakan aksi berkualiti pada pertemuan itu nanti kerana menentang TFC II sangat menarik dan ia perlu dilakukan dengan penuh seni serta taktikal.
“Pasukan ini sudah mempunyai DNA dan mereka sudah tahu dengan corak permainan kebanyakan skuad lawan,” ujar Ragini.
Selepas mengharungi tiga perlawanan, Kelantan FC sudah mengumpul enam mata dan berada di kedudukan keempat dalam carta Liga Premier.