LONDON – Pengarah kejuruteraan pasukan Mercedes, Andrew Shovlin mengakui bahawa pasukannya bakal berdepan masalah selepas data yang diperoleh menunjukkan mereka tidak sepantas pasukan Red Bull Racing ketika sesi ujian rasmi di Bahrain.
Pasukan berpangkalan di Brackley, Britain tersebut memulakan saingan 2021 dengan mimpi ngeri apabila Valtteri Bottas berdepan masalah kotak gear sekali gus hanya mampu melakukan enam pusingan ketika melakukan sesi ujian rasmi pramusim di Litar Antarabangsa Bahrain .
Lewis Hamilton pula bekerja keras untuk mendapatkan pelarasan terbaik ketika menguji jentera W12 dan tidak mampu mencatatkan masa terpantas pada sesi tersebut.
Sementara itu, Red Bull tidak berdepan sebarang masalah apabila Max Verstappen berjaya melengkapkan 65 pusingan dan mencatatkan masa terpantas pada saingan tersebut.
“Kami dapat meneruskan sesi dengan baik dan jentera juga dapat beroperasi dengan lancar pada hari berikutnya. Bottas dapat meneruskan sesi ujian dan Hamilton juga dilihat mencatat masa terbaik di sebelah petang.
“Terdapat sedikit kemajuan dengan keseimbangan pada bahan bakar dan juga jentera. Namun, selepas melihat data yang diperoleh kami mengesan bahawa kami tidak sepantas pasukan Red Bull.
“Kami perlu melihat semula dan mengesan masalah yang kami hadapi sepanjang sesi ujian tersebut. Kami pernah berdepan masalah seperti ini dan kami yakin dapat menyelesaikannya sebelum saingan bermula,” katanya.
Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff sebelum ini turut mengakui bimbang dengan situasi yang dialami pasukannya itu, namun yakin pasukannya mampu mencari jalan terbaik dengan menyediakan jentera yang lengkap. – AGENSI