fbpx

Henti kait pelaku bunuh pesakit mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
FIRDAUS HASSAN
PENOLONG PENGARANG BERITA

BULAN Mac ini merupakan bulan gila. Ini bukan kisah kemenangan lagu Gila dendangan Kaka Azraff, Noki dan Loca B di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35 malam kelmarin.

Bermula dalam kejadian seorang wanita maut ditembak suami pada 1 Mac lalu di Kota Tinggi, Johor, negara dikejutkan dengan tiga lagi kes pembunuhan kejam yang kesemuanya melibatkan mangsa wanita.

Antara insiden lain, seorang wanita sarat mengandung maut ditetak suami di Tawau pada 7 Mac, manakala di Kajang seorang pengurus sebuah pertubuhan ditemui maut dengan kesan jerutan di leher pada 8 Mac.

Selang sehari di Subang Jaya seorang pembuat kuih warga Indonesia tergamak membunuh rakan sendiri bagi mendapatkan barangan kemas mangsa untuk melangsaikan hutangnya.

Ada netizen yang mengaitkan kegelisahan serta keresahan ini berpunca daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. Pelakunya psikopat atau berpenyakit mental.

Namun, melalui siasatan polis, fakta-fakta kes yang diperolehi menafikan dakwaan tersebut. Malah, butirannya benar-benar mengejutkan. Perbuatan-perbuatan tersebut dilakukan in cold blood atau tidak berperikemanusiaan.

Motif serta punca kejadian membuatkan penulis berfikir apakah batas kesabaran rakyat Malaysia senipis kulit bawang?

Atau kaedah menangani stres dari segi emosi dan fizikal disebabkan faktor luaran seperti persekitaran dan sosial (antaranya konflik dalam hubungan) serta faktor dalaman berkait personaliti dan pemikiran berada pada tahap rendah.

Seperti kejadian di Kota Tinggi, pasangan suami isteri tersebut dikatakan berbalas ‘sindiran’ di laman sosial Facebook sebelum insiden wanita tersebut ditembak dari jarak dekat semasa tidur.

Mayat wanita itu kemudian disumbat dalam tong dan ditanam di satu kawasan kebun kelapa sawit.

Malah, jika kita adalah manusia yang normal dan sihat pemikiran tidak akan tergamak untuk menghentak kepala rakan sendiri ke lantai seperti dilakukan suspek wanita di Subang Jaya.

Boleh pula mayat mangsa disumbat di bawah katil, suspek dan suami tidur di atas katil tanpa perasaan. Seperti tiada apa-apa. Betul-betul hati kering.

Ini bukan penyakit gila, pelakunya buat masalah selepas itu ambil jalan mudah selesaikan masalah.

Bunuh dahulu, fikir kemudian. Ini bukan kaedah ‘gali lubang tutup lubang’ tetapi jika kes melibatkan pembunuhan sebegini pelakunya seolah-olah ‘gali lubang kubur’ sendiri.

Jadikan iktibar, bahawa pembunuhan bukan ibu penyelesaian segala masalah kerana pada akhirnya pelaku akan tetap ke tali gantung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI