fbpx

Kemahiran buat senjata api memakan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arifai menunjukkan senapang angin yang dirampas daripada seorang lelaki menerusi satu serbuan di Kampung Nakhoda, Batu Caves, Gombak.

GOMBAK – Kemahiran seorang lelaki membuat sendiri senapang angin yang digunakan untuk memburu ayam hutan akhirnya memakan diri apabila dia ditahan dalam satu serbuan di Kampung Nakhoda, Batu Caves, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, serbuan di rumah lelaki itu dibuat kira-kira pukul 4.15 pagi susulan maklumat dan risikan yang dilakukan.

“Menerusi serbuan itu, kami berjaya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan merampas beberapa barangan termasuk selaras senapang angin, dua tabung angin serta bebola besi.

“Soal siasat ke atas suspek mendapati, lelaki terbabit menghasilkan sendiri senjata api itu dengan mempelajarinya menerusi internet,” katanya pada  sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini hari ini.

Tambah beliau, suspek memaklumkan bahawa senjata berkenaan dihasilkannya untuk digunakan ketika memburu ayam hutan dengan menggunakan bebola besi sebagai peluru.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Lelaki terbabit direman selama enam hari bermula 12 Mac lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960,” jelas beliau.

Dalam perkembangan berasingan, Arifai turut memaklumkan tentang penahanan seorang lelaki berusia 58 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan samun rantai emas di Taman Ehsan, Selayang pada 5 Mac lalu.

“Pengadu berusia 57 tahun memaklumkan bahawa pada hari kejadian, ibunya yang berada di rumah seorang diri telah didatangi dua lelaki yang mendakwa sebagai juruteknik penyelenggara penyaman udara kira-kira pukul 6.40 petang.

“Wanita berkenaan kemudiannya mempelawa kedua-dua lelaki berkenaan masuk ke dalam rumah sebelum bertindak menarik rantai emas dipakai suspek mengakibatkan mangsa terjatuh,” ujar beliau.

Susulan laporan yang diterima, pihak polis kemudiannya berjaya menahan suspek di Taman Putra, Ampang pada 11 Mac lalu dan semakan mendapati, lelaki tersebut mempunyai 10 rekod jenayah lampau.

“Suspek kini ditahan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan kami kini sedang mengesan seorang lagi lelaki bagi membantu siasatan kes iaitu S. Sarwana Baharthi Raja berusia 54 tahun.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung lelaki tersebut boleh menyalurkannya ke balai polis berhampiran,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI