SABAN hari negara digemparkan dengan beberapa kematian yang berpunca daripada pemandu mabuk. Malah, berdasarkan statistik dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sebanyak 150 kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk dicatatkan.
Memahami keresahan rakyat berhubung isu tersebut, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan atas kesalahan tersebut.
Bagaimanapun, meningkatkan hukuman sahaja dilihat tidak akan menyelesaikan masalah secara menyeluruh sebaliknya perspektif lain juga perlu diketengahkan supaya perkara ini dapat dibendung sebelum kejadiannya.
Selain itu, perkara-perkara yang diketengahkan haruslah seiring dengan piawai dan polisi semasa termasuk memperketatkan penguatkuasaan.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, keputusan mengenakan hukuman berat terhadap pemandu mabuk merupakan langkah yang proaktif tetapi pada masa yang sama perkara lain perlu dititikberatkan agar penyelesaian isu ini bermula dari akar umbi lagi.
Katanya, pihak berkuasa perlu menggandakan operasi khususnya di pusat-pusat hiburan bagi memastikan setiap pemandu tidak mabuk melebihi paras yang dibenarkan sebelum memandu kenderaan masing-masing.
Jelas beliau, pihak polis juga perlu melakukan sekatan jalan raya berhampiran pusat hiburan supaya pemandu tidak terlepas daripada pemeriksaan dan ini sekali gus mampu mengelakkan kemalangan berlaku.
“Ini salah satu cara kita mengurangkan kadar kemalangan membabitkan pemandu mabuk di mana kita dah sekat awal pemandu itu daripada memandu serta pergi ke kawasan lain.
“Selain itu, pihak berkuasa juga perlu mengkaji masa sekatan jalan raya dilakukan kerana pemandu mabuk pulang dari pusat hiburan awal pagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Menurutnya, isu pemandu mabuk tidak sepatutnya diletakkan pada bahu pihak berkuasa semata-mata sebaliknya pe ngusaha kelab malam juga perlu membuat ujian pemanduan di bawah pengaruh alkohol terhadap pengunjung mereka.
Katanya, tindakan perlu diambil terhadap pemilik sekiranya mereka gagal memastikan pengunjung gagal mematuhi undang-undang.
“Macam sekarang musim Covid-19 yang perlu periksa suhu badan untuk memasuki premis, jika demam tidak dibenarkan masuk. Begitu juga kepada mereka yang mengambil alkohol, jika lebih daripada tahap yang ditetapkan halang mereka memandu.
“Saya rasa tidak timbul isu kerana pemandu boleh pulang menaiki teksi atau menggunakan perkhidmatan e-hailing,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ismail Muttalib menegaskan kerajaan memandang serius isu berkenaan dan akan mempertimbang menubuhkan sebuah pasukan untuk memantau penjualan alkohol.
“Kami berpendapat ada keperluan untuk meninjau kembali tata cara penjualan bahan itu di kedai runcit kerana ia memberi lebih banyak kesan negatif daripada positif kepada masyarakat,” katanya.
Mengulas isu yang sama, penganalisis jenayah, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, kerajaan perlu membuat kajian secara holistik untuk mencari penyelesaian dari peringkat akar umbi.