fbpx

JPJ lapor polis, pemandu lori tidak puas hati terhadap anggota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar menunjukkan kerosakan pada tiga tayar sisi kanan belakang lori pecah dan rosak di bahagian rim.

KOTA BHARU – Tindakan seorang pemandu lori balak yang merakam video dia tidak berpuas hati dengan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semalam membawa padah apabila JPJ telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.25 petang semalam selepas JPJ menahan pemandu lori berusia 45 tahun itu dan mengarahkan lelaki tersebut untuk hadir menimbang berat muatan kenderaannya di Stesen Penguatkuasa (SPK) JPJ Laloh, Kuala Krai.

Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, laporan polis telah dibuat bagi tujuan menafikan tohmahan yang telah dibuat di laman sosial selain pemandu tersebut gagal memberi kerjasama kepada anggota penguatkuasa dalam menjalankan tugas.

Katanya, rakaman video di aplikasi TikTok dan Facebook itu turut berniat ingin menjatuhkan imej JPJ apabila ia tular kepada orang ramai.

“Ketika kejadian, pasukan unit operasi JPJ sedang bersiap sedia untuk mengadakan satu operasi khas bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Krai sebelum melihat lori balak yang dipandu lelaki itu disyaki membawa lebih muatan.

“Anggota JPJ bertindak mengekori dan menahan lori tersebut kira- kira tiga kilometer dari SPK itu. Selepas memeriksa kenderaan berat berkenaan, JPJ mengeluarkan notis mengikut Seksyen 82(1) Akta Pengangkutan Darat ( APAD) 2010 dan mengarahkan pemandu untuk hadir timbang di SPK,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hanif Yusabra, pemandu tersebut telah hadir untuk berbuat demikian dalam keadaan melulu dan tergesa-gesa ketika berada di pintu masuk sehingga melanggar konkrit pembahagi jalan di hadapan SPK.

Katanya, keadaan itu telah menyebabkan kerosakan pada tiga tayar sisi kanan belakang lori pecah dan rosak di bahagian rim.

“Semasa proses dokumentasi dan penimbangan, pemandu telah membuat rakaman video sambil meluahkan rasa tidak puas hati kepada anggota yang bertugas.

“Setelah proses menimbang lori dilakukan, didapati muatan kayu balak yang dibawa melebihi daripada had Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan. Notis saman kesalahan lebih muatan telah dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik oleh anggota bertugas,” katanya.

Ujar Hanif Yusabra, anggota JPJ telah mengeluarkan saman bagi kesalahan Lesen Memandu (CDL) serta Lesen Kenderaan Barangan (GDL) yang telah tamat tempoh dan membawa muatan secara bahaya.

Katanya, bagaimanapun, pemandu lori telah menghilangkan diri tanpa dikesan selepas notis saman dikeluarkan.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 1.55 minit di media sosial TikTok dan Facebook berkaitan seorang pemandu lori yang tidak berpuas hati dengan tindakan anggota JPJ.

Dakwa lelaki itu, anggota JPJ telah menyebabkan tayar lori yany dipandunya pecah sewaktu tiba di SPK Laloh. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI