fbpx

Bakal haji perlu realistik peluang ke Mekah tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary (kanan) menyampaikan sumbangan Inspirasi Kasih Yapeim kepada petani dan nelayan di Pejabat ADUN Kijang, Kota Bharu hari ini. FOTO - ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Semua bakal jemaah yang sepatutnya menunaikan haji pada tahun ini diminta lebih realistik mengenai peluang untuk menunaikan ibadah itu memandangkan dunia kini masih dilanda wabak Covid-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, meskipun kerajaan Arab Saudi telah bersetuju memberikan tambahan kuota haji seramai 10,000 orang untuk jemaah Malaysia, namun ia bergantung kepada keadaan semasa ketika ini.

Katanya, kerajaan masih belum menerima sebarang keputusan dari pihak Arab Saudi berhubung syarat-syarat tambahan kepada bakal jemaah haji termasuk hal ehwal suntikan vaksin Covid-19.

“Kita berharap agar jemaah yang bakal mengerjakan haji tahun ini supaya lebih realistik. Kita tidak mahu apabila kuota sudah ada, namun berlaku suasana tidak mengizinkan pada peringkat akhir.

“Pada masa sama, kita juga bergantung kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi sama ada kuota yang diberikan itu termasuk suntikan biasa atau ada suntikan vaksin Covid-19. Perkara itu masih belum diputuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Inspirasi Kasih Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang, Kedai Buloh di sini hari ini.

Dalam program itu, seramai 70 penduduk yang terdiri golongan sasar termasuk petani dan nelayan menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM500 setiap seorang untuk mereka memulakan kehidupan selepas musim tengkujuh.

Ketika ditanya mengenai pemecatan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Mohammed Saleh Taher Benten baru-baru ini akan memberi kesan kepada kuota tambahan haji, Ahmad Marzuk berkata, setakat ini, keadaan itu tidak menjejaskan aspek tambahan kuota haji Malaysia.

Katanya, pertambahan kuota itu sudah mendapat persetujuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Muhyiddin Yasin dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al- Saud.

Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan, pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz memecat beberapa orang pegawai tinggi dalam pemerintahan negara itu.

Raja Salman melantik Issam Saad yang merupakan Menteri Negara dan ahli Kabinet sebagai Menteri Haji dan Umrah buat sementara waktu selepas memecat Mohammed Saleh. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI