PUTRAJAYA – Jururawat adalah kelompok paling ramai menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech berdasarkan data dikeluarkan setakat Sabtu lalu.
Ia meliputi 23.86 peratus atau 69,696 jururawat daripada keseluruhan 292,104 penerima vaksin dalam kalangan barisan hadapan di seluruh negara.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kelompok kedua paling tinggi adalah kumpulan kesihatan lain iaitu 23.4 peratus atau 68,352 orang; doktor (22.23 peratus) atau 64,934 orang dan anggota keselamatan (21.33 peratus) atau 62,305 orang.
Beliau berkata, kelompok lain adalah doktor gigi dengan 5.62 peratus atau 15,539 orang dan kumpulan farmasi 3.45 peratus atau 10,077 orang.
“Selain itu, hanya 302 orang yang mewakili 0.11 peratus penerima vaksin adalah dalam kalangan anggota pentadbiran termasuk wakil-wakil rakyat,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin menjelaskan, setakat ini, kerajaan sudah memberi vaksinasi kepada 22.8 peratus daripada populasi yang disasarkan.
Selain itu, katanya, bilangan temu janji suntikan dos pertama vaksin pula adalah 391,877 dan bilangan yang sudah divaksinasi setakat hari ini adalah 301,699 orang. – K! ONLINE.