PORT DICKSON – Bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19, Politeknik Port Dickson mengambil inisiatif mengenakan langkah tambahan kepada semua pelajarnya dengan menjalani proses pengasingan 10 hari di asrama atau di rumah sebelum mereka kembali ke kampus hari ini.
Langkah tambahan itu menggunakan aplikasi Sistem Deklarasi Kesihatan dan Penilaian Risiko Covid-19 (PolyCcDec) yang bertujuan memantau tahap kesihatan pelajar berkuat kuasa 1 Mac lalu.
Aplikasi berkenaan merupakan satu mekanisme baharu yang dibangunkan bagi memantau tahap kesihatan pelajar dan tahap risiko penularan wabak Covid-19 di kawasan kediaman pelajar.
Pengarah Politeknik Port Dickson, Mohamad Isa Azhari berkata, proses pengasingan tersebut adalah satu usaha untuk membantu kerajaan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) semasa pelajar berada di kampus.
“Pihak kami akan memastikan pelajar yang akan melapor diri perlu melakukan pengasingan kendiri sebelum pulang ke kampus selama 10 hari sebelum tarikh lapor diri pada hari ini.
“Pemantauan kendiri menggunakan aplikasi semasa proses ini adalah langkah tambahan projek rintis Politeknik Port Dickson, Politeknik Melaka dan Politeknik Merlimau bagi membolehkan pihak kami memantau dan melakukan pemerhatian terhadap tahap kesihatan pelajar,” katanya selepas pelaksanaan Program Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) secara hibrid di Politeknik Port Dickson hari ini.
Seramai 3,578 pelajar Politeknik Port Dickson menggunakan sistem PolyCcDec secara berperingkat. – K! ONLINE.