PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sudah memanggil pasangan kekasih yang sebelum ini tular selepas meluahkan ketidakpuasan hati mereka berhubung kompaun yang diterima pada 13 Mac lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pasangan terbabit telah dipanggil ke Bukit Aman oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi diambil keterangan untuk membantu siasatan semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati bukan pihak PDRM yang mengeluarkan kompaun tersebut sebaliknya kompaun itu dikeluarkan oleh satu pasukan penguat kuasa daripada sebuah agensi kerajaan.
“Pasangan itu sebelum ini dikesan memuat naik kenyataan bahawa mereka telah dikenakan kompaun ketika sedang makan dan minum serta kecewa dengan tindakan penguat kuasa yang dianggap mengeluarkan kompaun secara salah dan tidak masuk akal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas Huzir, pihak polis ketika ini sudah selesai merakam percakapan kedua-dua individu berkenaan bagi membantu siasatan dan akan meneliti kes tersebut.
“Pihak kami akan meneliti kes berkenaan selain merujuk dakwaan pasangan itu kepada Kementerian Kesihatan (KKM) yang berperanan sepenuhnya ke atas kompaun yang dikeluarkan,” ujar beliau.
Terdahulu, satu hantaran di laman Facebook oleh salah seorang daripada pasangan itu yang menceritakan kejadian tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
Pasangan itu mendakwa, mereka membuat pesanan di sebuah restoran pada pukul 11.14 pagi dalam keadaan masih memakai pelitup muka namun membukanya pada pukul 11.16 pagi sebaik minuman yang dipesan tiba.
Tambahnya, pada pukul 11.37 pagi mereka telah didatangi oleh 10 pegawai ketika makanan sudah berada di atas meja dan terus meminta kad pengenalan lalu mengeluarkan kompaun tanpa mendengar sebarang penjelasan atau diberi peluang membela diri.
Hantaran tersebut menjadi tular selepas ia dikongsi lebih 1,000 kali dan mendapat pelbagai reaksi yang rata-ratanya mempersoalkan pengeluaran kompaun tersebut.- K! ONLINE.