YANGON, Mynamar – Junta tentera Myanmar menguatkuasakan undang-undang tentera di dua daerah di Yangon selepas insiden 18 penunjuk perasaan terbunuh dalam hari terburuk demonstrasi anti rampasan kuasa sejak 1 Februari, lapor akhbar Bangkok Post hari ini.
Keganasan yang semakin buruk semalam, menjadikan jumlah mangsa maut dalam demonstrasi besar-besaran selepas penahanan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi mencecah 100 orang.
Junta tentera berulang kali mempertahankan rampasan kuasa itu dengan menuduh berlakunya penipuan dalam pilihan raya umum November tahun lalu yang dimenangi oleh Parti Liga Demokrasi Nasional pimpinan Suu Kyi (NLD).
Satu sidang media semalam yang disiarkan stesen televisyen tempatan mengumumkan daerah Hlaing Tharyar dan Shwepyitha akan diletakkan di bawah undang-undang tentera.
“Junta memberikan kuasa darurat ketenteraan dan kehakiman kepada panglima wilayah Yangon untuk memastikan keamanan, menjaga undang-undang dan keharmonian dengan lebih berkesan,” kata seorang penyampai stesen televisyen pemerintah. – Agensi