MELAKA – Tujuh rakan dicekup ketika sedang leka membungkus dan merebus daun ketum di sebuah rumah kedai di Taman Desa Taming Sari, Sungai Udang, di sini semalam.
Ketujuh-tujuh suspek berusia antara 25 hingga 40 tahun itu dicekup sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri dalam serbuan Op Sarang kira-kira pukul 4 pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, hasil risikan, premis itu dipercayai telah dijadikan dapur memproses air ketum sejak dua bulan lalu.
“Ketika serbuan dibuat, suspek sedang leka membungkus 57 liter air ketum dan merebus daun ketum dengan anggaran berat daun adalah 20 kilogram. Kesemua air dan daun bernilai RM760 itu telah dirampas.
“Kita juga menahan kesemua tujuh individu yang berada di premis termasuk seorang lelaki warga Thailand berusia 25 tahun yang dipercayai dalang kegiatan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat Op Sarang di sini semalam.
Jelasnya, hasil siasatan awal, pihaknya percaya bekalan daun ketum itu telah dibawa dari negeri utara tanah air menggunakan lori sebelum diseludup masuk ke Melaka.
“Air ketum yang dibungkus ini dijual pada harga RM10 sebungkus bagi pasaran di sekitar Sungai Udang. Kesemua suspek kini ditahan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.
Tambahnya, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas pelbagai barang dapur termasuk periuk besar, dapur gas, tong bas dan penapis yang digunakan untuk memproses air ketum.
Mengulas lanjut, Zulkiflee berkata, selain premis tersebut, Op Sarang itu turut dijalankan di kawasan lain sekitar Sungai Udang dan Tapak Pelupusan Sampah Krubong.
Ujarnya, sepanjang 15 jam operasi bermula pada pukul 2 pagi itu, seramai 75 individu termasuk enam wanita berusia 16 tahun sehingga 68 tahun dipercayai penagih telah ditahan.
“Kita juga menahan dua remaja lelaki dan perempuan berusia 16 tahun yang bersekedudukan di sebuah rumah di Sungai Udang selepas menemui dadah jenis syabu dan heroin di premis.
“Kesemua mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3), Seksyen 6, Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.
Terdahulu, Op Sarang itu melibatkan seramai 173 penguat kuasa termasuk bantuan daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). – K! ONLINE.