PETALING JAYA – Menyaksikan rata-rata angkatan penyanyi hip hop tampil mengangkat irama asli Melayu di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35, rapper terkenal Altimet hadir dengan satu ciapan yang membuka mata ramai.
Ciap Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berbunyi: “Last-last (akhirnya) budak hip hop juga yang bawa balik irama asli Melayu.”
Ciapan Altimet merujuk kepada lagu Eh nyanyian Zizi Kirana, 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sickta) dan Gila (Kaka Azraff, Noki dan Tuju) yang menjadi dendangan penyanyi hip hop dan memberi saingan hebat pada AJL35 malam ini.
Selain tiga lagu tersebut, lagu lain yang memberi saingan termasuklah Belenggu Rindu (Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah), Hati (Hael Husaini), Semalam (Aina Abdul), Peluang Kedua (Hael Husaini), Hutang (Floor 88), Kau Sakiti (Amir Masdi), Gundah (Ernie Zakri), Aku Bidadari Syurgamu (Aishah) dan Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter).
AJL35 diadili 10 juri profesional iaitu Datuk Mokhzani (Ketua Juri), Azmeer, Ajai, Datuk Syafinaz, Edrie Hashim, Helen Yap, AG Coco, LY, Datuk Acis dan Lukhman S.
AJL35 sepatutnya dijadualkan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 7 Februari lalu namun ditunda pada malam ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19. – K! ONLINE