PETALING JAYA – “Saya tiada komen mengenai isu ini (TikTok).”
Itu komen ringkas pelakon Mawar Rashid mengenai perkongsian video tariannya dalam aplikasi TikTok yang kemudian dikongsi di akaun Instagramnya semalam.
Menerusi video itu, Mawar atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 25, kelihatan galak menari bersama seorang pelakon baharu, Nurin Afiqah.
Difahamkan, kedua-dua pelakon itu sedang menjalani penggambaran drama Diam Tanda Setuju.
Selepas memuat naik video tersebut, ruangan komen dipenuhi dengan teguran dan kritikan daripada pengikutnya yang rata-rata kurang bersetuju dengan aksi Mawar.
Peminat beranggapan Mawar yang kini sudah berhijab tidak sesuai berkongsi kandungan sebegitu untuk tatapan umum, apatah lagi dia kini sudah bergelar ibu kepada dua cahaya mata.
Ada juga peminat Mawar yang melabelkan pelakon drama TQ Captain itu semakin menjadi-jadi selepas bertudung.
Namun, ada juga dalam kalangan pengikut tampil mempertahankan tindakan Mawar sambil memuji tarian kedua-dua pelakon tersebut comel.
Pada awalnya, ruangan komen tersebut dipenuhi dengan kritikan hebat terhadap aksi Mawar itu, namun selepas beberapa jam kemudian, kebanyakan komen pedas tersebut bagaimanapun telah dipadam.
Mawar mula berjinak memakai tudung sepanjang Ramadan tahun lalu sebelum memutuskan untuk berhijab sepenuhnya pada Ogos tahun sama.