fbpx

Jangan sampai kita merajakan anak-anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ARINA AZLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

Baru-baru ini, penulis terbaca satu rangkaian ciapan Twitter milik seorang pegawai perubatan pediatrik Hospital Muar iaitu Dr. Redza Zainol mengenai memanjakan anak jangan sampai jadi raja.

Menerusi catatan itu, seorang anak yang memasuki usia dua tahun sebenarnya sudah boleh di­ajar menerima arahan mudah dan berhenti dilayan seperti bayi.

Penulisannya didorong oleh insiden seorang ibu yang datang ke klinik membawa anak berusia tujuh tahun yang masih dipakaikan selipar malah minum susu juga dari botol seperti bayi.

“Anak bawah usia dua tahun memang wajar dilayan seperti raja, namun melepasi umur itu, mereka perlu didedahkan dengan kerja rumah terutama anak lelaki.

“Jangan biasakan diri jadi ‘bibik’ untuk anak. Mereka perlu belajar untuk membesar dan lakukan kerja sendiri,” katanya.

Tambah Dr. Redza, di usia dua hingga tiga tahun, anak-anak wajib tahu bila perlu kemas mainan selepas selesai bermain, belajar mengelap meja jika makanan tumpah, meletakkan pinggan di dalam sinki sesudah makan dan galakkan mereka angkat barangan ringan yang berselerak.

Gunakan arahan mudah dan jelas sebagai permulaan melatih anak berdikari.

“Apabila anak dibiasakan de­ngan rasa dan sifat tanggungjawab, tahap keyakinan diri ketika membesar akan bergerak seiring.

“Mereka akan lebih bijak me­ngurus masa dan peka dengan kebersihan diri, barangan peribadi dan kawasan sekeliling,” tulisnya.

Sebagai ibu bapa, ada kala­nya kita berasa ralat menyuruh anak-anak melakukan pekerjaan yang dirasakan tidak perlu untuk golongan sebaya mereka.

Pendakwah bebas, Ustaz Aizuddin Kamarul Zaman berkata, Islam menekankan ilmu dunia dan akhirat dalam membesarkan zuriat.

Jika dua ilmu ini cukup, pasti ia akan mempengaruhi perkembangan dan sifat anak-anak tanpa perlu dipaksa oleh sesiapa.

“Ada beza antara memanjakan dan merajakan anak. Situasi merajakan anak berlaku apabila fokus ibu bapa adalah memastikan setiap kemahuan cahaya mata mereka dipenuhi meskipun ia tidak signifikan.

“Anak-anak biarpun masih kecil perlu diajar berhadapan dengan emosi sama ada baik, buruk, positif mahu pun negatif.

“Mereka perlu dibiarkan menangis apabila kemahuan tidak dipenuhi agar ibu bapa boleh menjelaskan kemudian sebab apa permintaan itu tidak ditunaikan,” jelasnya.

Tambah Aizuddin, tugas membesarkan anak adalah tanggungjawab paling berat dan sebagai ibu bapa, kita perlu menerapkan rasa ikhlas ketika melakukannya.

Jangan tatang anak bagai minyak penuh supaya amalan kita yang tidak pernah menegur malah sentiasa berkata ya untuk semua kehendak mereka bakal menjadi ‘pelaburan’ menguntungkan di masa hadapan.

“Pelaburan yang dimaksudkan adalah dengan memanjakan anak, kita meletakkan harapan agar mereka melakukan perkara sama untuk kita apabila sudah dewasa kelak.

“Jangan harapkan balasan untuk pengorbanan membesarkan anak-anak, itu tanda rasa ikhlas kita sudah kurang,” ujarnya lagi.

Sejujurnya, penulis berasa tersentak dengan apa yang dipelajari menerusi penerangan ini.

Betapa mulia tanggungjawab ibu bapa membesarkan anak-anak sehinggakan niat juga perlu dijaga rapi agar tidak tersalah arah. Marah, tegur dan tegas de­ngan anak-anak tidak bermakna kita tidak sayang.

Banyak cara untuk memanjakan bukan sekadar menurut kata secara membabi buta sahaja. Ingatlah, manjakan anak jangan sampai mereka jadi raja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI