SEDAR tentang kepentingan menjaga kesihatan mental, penyanyi Justin Bieber mula menyeimbangkan kehidupan antara kerja dan hal peribadi.
Bahkan, penyanyi itu juga dilaporkan mula menjauhkan diri daripada telefon pintar dan hanya menggunakan sebuah iPad untuk berhubung dengan pengurusnya.
Menurut penyanyi berusia 27 tahun itu, dia berbuat demikian kerana mahu meluangkan masa berkualiti bersama isterinya, Hailey Baldwin serta keluarga tersayang.
“Saya mula sedar tentang kepentingan had dan batas dalam bekerja. Tetapi pada masa sama, saya juga tidak berasa seperti ada ‘berhutang’ dari segi masa dengan sesiapa.
“Cara sebegitu membantu saya untuk mengatakan tidak kepada perkara yang tidak ingin dilakukan dan menjadi lebih tegas,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Let Me Love You itu juga menetapkan tempoh iaitu pukul 6 petang setiap hari untuk berhenti bekerja dan akan bangun dari tidur sebelum pukul 8 pagi.
“Saya telah mencapai kejayaan dalam karier nyanyian. Tetapi saya sedar semua itu bukanlah kejayaan sebenar dalam hidup,” katanya.