KUALA TERENGGANU – Bayi yang dilahirkan dengan otak di luar tempurung kepala, Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd. Lekman akan menjalani pembedahan membuang lebihan air di dalam kepalanya esok.
Ibunya, Fatin Dahlia Fazlin Mazlam, 29, berkata, pembedahan anak bongsu dari tiga beradik yang dipanggil Adam itu akan dilakukan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
“Adam yang genap berusia dua bulan esok (hari ini) akan menjalani pembedahan membuang lebihan air di dalam kepalanya pada 16 Mac ini (esok).
“Pakar perubatan yang merawatnya memaklumkan sekiranya pembedahan tersebut menunjukkan perkembangan positif, prosedur memasukkan otak anak saya ke posisi asalnya ke dalam tempurung kepala akan dilakukan kemudian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Hampar, Manir di sini semalam.
Fatin berkata, pakar perubatan memaklumkan pembedahan besar untuk memasukkan semula otak ke dalam tempurung kepala itu akan dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan.
Jelasnya, dia sekeluarga masih belum dimaklumkan lagi kos sebenar pembedahan melibatkan Adam oleh pihak hospital.
“Apa pun saya mohon doa orang ramai agar pembedahan melibatkan anak saya ini berjaya dan dipermudahkan.
“Besar harapan kami untuk melihat dia membesar sebagai kanak-kanak yang sihat seperti abang dan kakaknya,” katanya.
Kosmo! 24 Februari lalu melaporkan Sayyid Uwais Al-Qarni atau dipanggil Adam oleh keluarganya dilahirkan dengan keadaan otaknya berada di luar tempurung kepala, lumpuh dari bahagian pinggang, mempunyai lebihan air di dalam kepala dan menghidap penyakit saraf.
Bayi yang dilahirkan pada 13 Januari lalu itu telah menjalani pembedahan di bahagian belakang bagi membetulkan saraf tunjangnya ketika dia berusia tujuh hari.
Penderitaan Adam turut mendapat simpati pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan individu persendirian.