GEORGE TOWN – Tindakan sekumpulan warga Myanmar mencari hasil laut dengan menggunakan bot nelayan tempatan mengundang padah apabila mereka ditahan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 28.6 batu nautika barat Pulau Kendi dekat sini semalam.
Mereka terdiri daripada tiga kru dan seorang tekong berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu diberkas dalam OP Benteng Laut dan Op Pertiwi 01/2020 oleh anggota Kapal Maritim KM Burau kira-kira pukul 9.20 pagi.
Ketika ditahan, kesemua warga asing tersebut dikatakan sedang leka menangkap ikan dan memberi kerjasama semasa pemeriksaan dijalankan.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Bot bersama nelayan warga asing tersebut ditahan serta dibawa ke pejabat Maritim Negeri bagi menjalani saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM untuk siasatan lanjut.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 8 (b), Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen, vesel tidak usaha sendiri dan menggaji kru asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen iaitu memasuki Malaysia tanpa memiliki pas yang sah.
Justeru tambahnya, orang ramai dan komuniti maritim diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat serta melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut di talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian: 04-2626146. – K! ONLINE.