COLOMBO, Sri Lanka – Kerajaan Sri Lanka akan mengharamkan pemakaian burka dan bakal menutup lebih 1,000 madrasah Islamik sebagai langkah keselamatan negara, menurut seorang menteri semalam.
Menteri Keselamatan Umum, Sarath Weerasekera berkata, dia telah menurunkan tandatangan kelmarin bagi kelulusan Kabinet untuk melarang penggunaan penutup wajah yang dipakai segelintir wanita Muslim tersebut, lapor akhbar The Sun, semalam.
“Burka mempunyai kesan langsung terhadap keselamatan negara. Pada awalnya, wanita dan kanak-kanak perempuan Muslim di negara ini tidak memakainya.
“Ia merupakan tanda ektrimisme agama yang baharu muncul baru-baru ini. Sudah tentu kami akan melarang perbuatan ini,” katanya.
Pemakaian burka di negara majoriti Buddha itu dilarang seketika pada 2019 selepas berlakunya pengeboman gereja dan hotel-hotel yang menyebabkan lebih 250 kematian.
Dua kumpulan pengganas yang menyatakan kesetiaan kepada militan Daesh dipercayai menjalankan serangan tersebut.
Weerasekera berkata, kerajaan juga merancang melarang pembukaan lebih 1,000 madrasah Islamik yang dikatakan menghina polisi pendidikan kebangsaan.
“Tiada sesiapa pun boleh membuka sekolah dan mengajar apa yang mereka mahukan kepada kanak-kanak,” katanya.
Pada tahun lalu, kerajaan Sri Lanka mewajibkan mayat mangsa Covid-19 dibakar walaupun ia ditentang penduduk Muslim yang mahu mengebumikan mereka. – Agensi