fbpx

Jenayah samun meningkat semasa PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abd. Khalid - Foto FARIZ RUSADIO

SUBANG JAYA – Jenayah samun antara kes yang mencatatkan peningkatan di daerah Subang Jaya sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, kes jenayah mencatatkan penurunan pada tiga bulan pertama pelaksanaan PKP.

“Bagaimanapun, selepas tiga bulan, kes samun mencatatkan peningkatan sama seperti tahap kes jenayah sebelum PKP.

“Faktor peningkatan kes ini mungkin disebabkan oleh tekanan hidup sesetengah individu yang terjejas akibat dibuang kerja sekali gus menyebabkan mereka mengambil kesempatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya hari ini.

Bagaimanapun Abd. Khalid berkata, terdapat kes samun di daerah itu membabitkan laporan palsu.

“Ada beberapa kes yang kami terima membabitkan pengadu memaklumkan diragut atau disamun.

“Tetapi apabila siasatan dilakukan, kami mendapati kejadian itu tidak berlaku. Hasil soal siasat terhadap pengadu, mereka mengaku telah membuat laporan palsu kerana tidak mahu didenda selepas menghilangkan kad pengenalan mereka,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini lebih daripada 10 kes yang dilaporkan adalah berkaitan laporan palsu termasuk kes membabitkan pelajar yang didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

“Saya nasihatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu kerana pesalah boleh dikenakan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda sehingga RM2, 000 jika disabitkan kesalahan.

“Hukuman itu amat berat jika dibandingkan dengan denda RM100 ke RM1,000 bagi kehilangan kad pengenalan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI