ISKANDAR PUTERI – Polis mengeluarkan sebanyak 85 keping saman melibatkan pelbagai kesalahan jalan raya menerusi satu operasi khas yang dijalankan di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, operasi itu dijalankan bermula pukul 10 malam kelmarin sehingga pukul 2 pagi semalam.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan seramai 106 individu serta 96 buah kereta dan motosikal ditahan untuk pemeriksaan.
“Dalam operasi itu, sebanyak 85 keping saman polis telah dikeluarkan berdasarkan 13 kesalahan dan perlanggaran peraturan jalan raya.
“Antara kesalahan ini termasuklah ekzos yang telah diubah suai, tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, lesen tamat tempoh serta tidak dilindungi insurans.
“Kesalahan lain ialah letak kenderaan secara salah, tiada cermin sisi, tidak pamer pelekat ‘P’ dan ‘L’, lampu silau dan ubah suai struktur kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Dzulkhairi, pihaknya turut menyita 13 buah kereta pelbagai jenis dan 15 buah motosikal.
“Kesemua kenderaan yang disita itu telah dibawa ke IPD Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut.
“Dalam masa sama, operasi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang tangkapan,” ujarnya.-K! ONLINE