PETALING JAYA – Pelakon popular Nad Zainal kini menghitung hari menantikan kelahiran cahaya mata kedua yang dijangka bersalin dua minggu lagi.
Menerusi hantaran terbaharu dalam Instagramnya, Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 31, berkongsi beberapa keping gambar ketika menjayakan fotografi kehamilan sebagai kenangan.
“Two more week to go (dua minggu lagi). Assalamualaikum orang baharu, jumpa nanti ya,” tulisnya ringkas dalam ruangan kapsyen.
Pada hantaran tersebut, Nad yang tampil dengan gaun berona merah hati kelihatan begitu anggun selain menaikkan lagi seri wajahnya ketika sedang hamil.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata rakan artis dan pengikut teruja serta tidak sabar menantikan kehadiran bayi. Masing-masing mendoakan agar proses kelahiran Nad dipermudahkan.
Pada masa sama, pelakon drama fenomena Takdir Yang Tertulis itu turut meluahkan rasa gementar apabila ramai pengikut yang memberikan komen mengenai perutnya yang dilihat semakin ke bawah.
Terdahulu, Nad mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Faliq yang juga pengurus peribadinya pada 18 Disember 2015.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Fahad Ibrahim yang kini berusia lima tahun. – K! ONLINE