Oleh KHAIRULMIZAN YAHYA
LIPIS – Seorang penternak kambing terkejut apabila menemui seekor ular sawa sepanjang lima meter cuba membaham kambing miliknya dalam kejadian di Kampung Bapong, di sini, tengah malam semalam.
Huzaini Fauzan, 33, berkata, dia menyedari kejadian itu kira-kira pukul 12 tengah malam selepas mendengar bunyi riuh dari arah kandang kambing yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.
“Selepas keadaan kembali sunyi, saya mula berasa curiga lalu terus membuat pemeriksaan dan terkejut melihat seekor ular sawa berada di sebelah kambing yang sudah mati.
“Kerana saiz ular itu sangat besar saya tidak berani mendekatinya sebaliknya saya meminta pertolongan orang kampung sebelum menghubungi Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, ini adalah kali pertama ular sawa berkenaan masuk ke kandang kambing milikya.
Huzaini memberitahu, ular terbabit sudah membelit kambing tersebut sehingga mati namun melepaskannya semula dan berkemungkinan mahu membahamnya.
Sementara itu, Pegawai APM Lipis, Mohd Azhar Yusof, berkata pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 12.20 tengah malam dan sepasukan empat anggota APM telah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan APM mengambil masa kira-kira 18 minit untuk menangkap ular seberat 30 kilogram dengan panjang lima meter itu dan ia akan dilepaskan semula di kawasan yang sesuai,”ujarnya.-K!ONLINE