KLUANG – Enam individu nyaris rentung termasuk empat sekeluarga selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung lalu terbakar di Kilometer (KM) 122.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.33 petang itu, kereta jenis Volkswagen Tiguan dan Perodua Alza terbakar kira-kira 90 peratus namun kesemua mangsa sempat keluar dari kenderaan sebelum api marak.
Menurut Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Khairol Nizam Aresat, dua jentera bersama lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan Keluar Operasi (PKO) bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran salur bantu mula air pam jentera sehingga kebakaran padam sepenuhnya.
“Empat mangsa iaitu tiga lelaki dan seorang wanita dewasa yang menaiki kereta Volkswagen Tiguan masing-masing berusia 20 hingga 50 tahun.
“Manakala dua mangsa yang menaiki Perodua Alza pula masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 28 serta 30 tahun selain kesemua mangsa cedera ringan,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Khairol Nizam berkata, semua mangsa diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut.
Jelasnya, setelah memastikan keadaan selamat, PKO lapor balik ke balai dan operasi ditamatkan pada pukul 7.58 malam.-K! ONLINE