JOHOR BAHRU – Pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Perdana pada musim ini selepas menjinakkan pasukan Kuching City FC 3-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin malam ini.
Skuad Harimau Selatan itu mempamerkan kebangkitan setelah ketinggalan satu gol pada babak pertama perlawanan.
Penyerang import, Hudson Dias De Jesus menjaringkan gol pembukaan dengan menyempurnakan sepakan sudut yang diambil kapten, Joseph Kalang Tie pada minit ke-21.
Pada minit ke-30, Mohamad Rafiefikri Mohd. Rosman hampir menghadiahkan gol penyamaan buat pasukan tuan rumah namun tandukannya sedikit tersasar.
JDT II hanya memerlukan tiga minit sebaik babak kedua bersambung bagi mendapatkan gol penyamaan hasil jaringan kapten Nicolas Fernandez pada minit ke-48.
Hantaran rendah bek kanan Muhammad Nafizuddin Muhamad Fauzi yang gagal disekat pertahanan Kuching City dimanfaatkan Fernandez yang melepaskan rembatan deras menerjah gawang lawan melepas kawalan penjaga gawang, Mohd. Iqbal Mohd. Suhimi.
Jaringan tersebut memberi tonik buat pasukan kendalian Rafael Sanchez untuk terus mengasak kubu lawan hingga memperoleh gol kedua perlawanan pada minit ke-51.
Muhamad Feroz Baharudin membuat larian ke dalam kotak penalti pasukan lawan bagi menyambut hantaran lintang Muhammad Syazwan Andik Mohd. Ishak dengan menanduk masuk.
Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan pelawat kembali mengatur serangan bagi memburu gol penyamaan.
Penyerang import, Bryan Anicezio hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-65 namun rembatannya dari jarak dekat sekadar singgah ke tiang gol lawan.
Pasukan JDT II terus melebarkan kedudukan apabila Muhamad Feroz menjaringkan gol kedua peribadinya menanduk masuk sepakan sudut yang diambil Fernandez pada minit ke-77. – K! ONLINE