fbpx

Madya sedih, tiba-tiba hilang kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MADYA mahu menggunakan setiap peluang yang diberikan untuk memajukan diri dan membantu keluarga.

PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini memberi kesan besar kepada sektor ekonomi sekali gus menjejaskan peluang jutaan pencari kerja untuk mengubah kehidupan.

Turut merasai keperitan itu ialah Madhihah Ahmad Mazni, 27, apabila anak kelahiran Pulau Pinang ini berdepan kesukaran untuk memperoleh pekerjaan baharu.

Lebih mesra disapa Madya, bekas kakitangan bahagian sumber manusia di sebuah kilang elektronik di Bayan Lepas, Pulau Pinang ini mengakui kehilangan pekerjaan sejak Jun tahun lalu adalah antara perkara sukar yang perlu dilaluinya.

Pelbagai cabaran telah dilalui oleh anak bongsu daripada empat beradik itu termasuk memohon lebih 30 peluang pekerjaan baharu di syarikat-syarikat swasta, perhotelan, pasar raya besar dan kilang.

Kini, selepas tujuh bulan menganggur, Madya mula bekerja sebagai pembantu sumber manusia di sebuah syarikat pembuatan dan perkhidmatan elektronik sejak Januari lalu.

Kosmo! Ahad: Terlalu minat terhadap bidang sumber manusia (HR). Kenapa?
Madya: Saya amat meminati bidang HR kerana mahu mengenali dan mendalami karekter seseorang.

Kongsi cerita suka atau duka di sebalik minat terhadap kerjaya itu? Mungkin disebabkan kriteria rupa paras atau pilihan keluarga?
Pengalaman selama tujuh bulan tanpa sebarang pekerjaan dan gaji bulanan pastinya me­ngajar saya erti kehidupan sebenar. Be­kerja di bahagian sumber manusia adalah cita-cita yang diimpikan sejak sekolah mene­ngah kerana saya percaya dengan kebolehan selain ingin membantu mereka yang ada masalah.

Perasaan apabila kontrak sebagai HR di sebuah kilang ditamatkan ketika negara diancam pandemik Covid-19.
Sedih apabila mendapat be­rita mengenai perkara itu semasa tempoh perlaksanaan PKP. Saya tidak dapat mengenang nasib yang akan dihadapi semasa pandemik selain memikirkan bilakah wabak ini akan berakhir.

Menganggur dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP 2.0. Apakah yang dilakukan sepanjang tempoh itu?
Saya mengambil kesempatan mempelajari cara membuat kek menerusi saluran YouTube dan juga kerja rumah. Pandemik memberi peluang kepada saya menjadi lebih kreatif.

Adakah anda tidak berputus asa dan berusaha mencari peluang pekerjaan baharu sepanjang tempoh itu?
Saya tidak pernah sesekali berputus asa untuk mencari peluang pekerjaan baharu. Setiap hari, saya akan melihat saluran penca­rian kerja atau jawatan kosong menerusi internet dari pagi hingga tengah malam.

Berapakah permohonan yang dilakukan sepanjang tempoh tersebut?
Saya mohon lebih 30 jawatan HR secara online daripada pelbagai syarikat swasta, perhotelan, pa­sar raya besar dan kilang. Namun, daripada jumlah itu, hanya kurang daripada tiga syarikat yang memanggil untuk ditemu duga.

Nyatakan apakah kesukaran yang dialami untuk melayakkan anda menjawat jawatan itu?
Hampir 90 peratus jawatan dan syarikat yang saya mohon telah ditolak dengan alasan tidak mempunyai pengalaman yang cukup iaitu kurang daripada lima tahun.

Perasaan apabila diterima bekerja sebagai HR di sebuah syarikat pembuatan dan per­khidmatan elektronik?
Ini adalah permohonan kerja yang ke-20. Saya amat bersyukur dan teruja kerana diberi peluang pekerjaan sebagai Pembantu HR di syarikat berkenaan pada awal Januari lalu. Pada masa sama, saya amat sedih dengan kehilangan ayah yang ba­nyak memberi sokongan selama ini.

Sekiranya bukan HR, apakah pekerjaan yang dilakukan hari ini?
Saya mungkin ke bidang pelancongan disebabkan saya ialah bekas penuntut jurusan Diploma Pengurusan Pelanco­ngan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh.

Apakah harapan sebagai orang muda kepada kerajaan dalam membantu golongan lepasan siswazah memperoleh pekerjaan ketika negara dilanda wabak Covid-19?
Pada pendapat sa­ya, setiap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang besar diwajibkan mengambil para siswazah sebagai pelatih dengan pendapatan yang bersesuaian untuk pembangunan bakat dalam bidang yang diceburi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI