SHAH ALAM – Isu gangguan bekalan air tidak akan selesai sekiranya kerajaan negeri tidak komited dalam menyelesaikan kilang-kilang haram di kawasan pinggir sungai.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran berkata, sehingga kini kerajaan negeri didapati berdiam diri dalam kejayaan proses pemutihan terhadap kilang haram yang banyak di Selangor.
Katanya, kilang haram ini turut mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang amat dukacita kerana memberi kesan kepada rakyat apabila berlakunya gangguan bekalan air sebelum ini.
“Kalau kata bukan semua kilang haram bukan pencemar, itu tidak masuk akal. Dalam isu pemutihan ini perlu bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kenali industri berisiko, buat siasatan dan tutup.
“Kerajaan negeri juga harus menjunjung titah Sultan Sharafuddin, kalau tidak laksana maksudnya lain (melanggar titah). Sepanjang saya berkecimpung dalam bidang ini, jarang institusi raja mengeluarkan kenyataan berkenaan pencemaran,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, kaedah pengiraan pencemaran juga perlu diubah daripada kaedah pelepasan air sisa kepada kaedah beban pencemaran, susulan penambahan jumlah penduduk dan kilang.
“Rizab sungai sememangnya kena tambah dan sekarang ramai melepaskan sisa ke sungai berbanding 50 tahun lalu. Jumlah bahan tercemar dalam isi padu tertentu meningkat walaupun mengikut kaedah pelepasan yang terbaik (kaedah pelepasan air sisa),” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Selangor, Datuk Seri Dr. Jacob George berkata, pihaknya sebelum ini pernah mencadangkan kepada kerajaan negeri agar pelaksanaan jarak 500 hingga 1,000 meter dilaksanakan untuk rizab sungai agar tiada pembinaan kilang atau industri dilakukan di kawasan tersebut.
“Kerajaan negeri harus tegas sama ada adakah ekonomi lebih penting daripada air yang kritikal di Selangor? Jangan depan kata kita ingin memperkasakan, tetapi sebaliknya tidak melakukan apa-apa.
“Saya pelik sekiranya mereka menjalankan aktiviti haram atau tanpa lesen bagaimana boleh mendapatkan bekalan air dan elektrik, pekerja asing dan syarikat. Kita risau sekiranya ada unsur rasuah. Jangan nanti apabila ada pencemaran lagi, dikatakan ia disebabkan kilang haram,” katanya.