Oleh ROSLIZA MOHAMED
KOTA BHARU – Lima individu termasuk pasangan suami isteri berdepan hukuman mati mandatori selepas mereka ditahan bersama rampasan dadah jenis pil kuda bernilai RM180,000 dalam dua serbuan berasingan dekat Pasir Mas di sini semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, polis menahan pasangan suami isteri dan seorang lelaki di tepi jalan berhampiran sebuah hospital di Pasir Mas pukul 5 petang dalam serbuan pertama.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan melakukan risikan sebelum melihat
seorang lelaki bersendirian dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.
“Dalam risikan itu, kita melihat sebuah kereta jenis Perodua Kelisa yang dinaiki pasangan suami isteri tiba di lokasi tersebut kira-kira lima minit kemudian.
“Pasukan polis telah bertindak menghampiri mereka sebelum menahan ketiga-tiga suspek yang berusia 25 dan 26 tahun. Penahanan mereka membawa kepada penemuan enam bungkusan plastik cerah berisi 60 paket plastik biru mengandungi 12,000 pil kuda anggaran RM120,000 bersama suspek lelaki itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menyita sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi ASX, motosikal jenis Honda EX-5 dan barang kemas yang dipercayai milik salah seorang suspek dengan jumlah keseluruhan bernilai RM37,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988.
Sementara itu, menurut Hasanuddin dalam serbuan kedua, polis menahan seorang lelaki dan wanita berhampiran sebuah kedai makan di Kampung Dangar dekat Pasir Mas pada pukul 6.30 petang pada hari yang sama.
Katanya, ketika itu, wanita yang berusia 30 tahun itu sedang memegang satu plastik disyaki mengandungi 6,000 pil kuda anggaran RM60,000.
“Wanita itu telah bertindak meletakkan dadah tersebut ke dalam raga sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang diparkir di kawasan itu.
“Bagaimanapun, kita berjaya menahan wanita dan seorang lelaki berusia 33 tahun itu ketika mereka berdua berada di dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi,” katanya.
Hasanuddin berkata, kelima-lima suspek ditahan reman bermula semalam hingga Ahad depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE