GEORGE TOWN – Sebanyak 50 mililiter asid akrilik dilaporkan tertumpah di atas lantai dalam sebuah bilik makmal di Pusat Pengajian Sains Kimia Universiti Sains Malaysia (USM) di sini petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Fairol Mahazi Malek berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.28 petang.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati satu bekas mengandungi asid akrilik tertumpah di atas lantai dan operasi tersebut turut mendapat bantuan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat).
“Tindakan anggota adalah dengan membuat pengungsian pada bangunan makmal berkenaan dan kerja-kerja pembersihan dilakukan dengan mengumpulkan sisa-sisa bahan tersebut.
“Seterusnya dimasukkan ke dalam sebuah bekas khas serta membuat pembersihan di kawasan yang tercemar dengan menggunakan Soda Ash dan melakukan pengudaraan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5 petang. – K! ONLINE