MANAMA – Ribut pasir yang melanda ketika sesi ujian pertama perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sakhir, Bahrain kelmarin sedikit mengganggu saingan tersebut, namun pelumba Red Bull, Max Verstappen berjaya mencatat masa terpantas.
Verstappen tidak berdepan masalah dengan jentera RB16B miliknya apabila mencatatkan satu minit 30.674 saat (s) selepas melakukan 138 pusingan.
Bagaimanapun, Mercedes tidak bermula dengan baik apabila pelumba mereka, Valtteri Bottas hanya sempat melakukan enam pusingan sebelum berdepan masalah kotak gear dan Lewis Hamilton berada di kedudukan 10 terpantas (1’32.727s).
“Hari yang positif bagi pasukan dan kami berjaya melakukan banyak pusingan. Keadaan litar cukup sukar dan berangin, namun kami berjaya lakukan dengan cukup baik.
“Pada sesi pertama ini kami hanya mahu melihat bagaimana prestasi jentera dan saya akui jentera sangat mudah untuk dikawal. Saya sangat teruja dan gembira kerana ia merupakan permulaan terbaik bagi kami.
“Apabila anda dapat menyelesaikan dengan baik, semua orang gembira dengan kerja keras yang mereka lakukan sebelum berada di litar ini,” kata Verstappen.
Sementara itu, Hamilton yakin pasukannya mampu mengenal pasti masalah yang dihadapi Bottas sebelum saingan sebenar bermula nanti.
“Sesi pertama ini bukan hari terbaik buat pasukan Mercedes kerana Bottas mengalami masalah pada kotak gear dan pasukan sedang mengenal pasti punca kerosakan itu berlaku.
“Keadaan cuaca di sini juga agak mencabar dan saya tidak pernah melihat ribut pasir ketika bersaing sepanjang saya berlumba di sini. Situasi seperti ini tidak baik terutama kepada permukaan tayar dan tidak mampu bertahan lebih lama,” kata Hamilton. – AGENSI