fbpx

UniKL perlu tajamkan aspek penyudah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYERANG UniKL, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil (kanan) cuba dihalang dua pemain TNB sewaktu aksi Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Nasional malam kelmarin.

JUARA bertahan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bakal berdepan masalah besar jika tidak memperbaiki beberapa aspek kelemahan menjelang aksi kedua Liga Hoki Malaysia (MHL) menentang musuh tradisi, Pasukan Hoki Terengganu (THT) malam ini.

Ketua jurulatih UniKL, Megat Azrafiq Megat Termizi mengakui, anak-anak buahnya perlu menajamkan penyudah jentera serangan dan pada masa sama mengekalkan kecemerlangan di benteng pertahanan menjelang aksi getir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu.

Ia berdasarkan situasi UniKL bergelut untuk menghasilkan peluang selain cuma berupaya meraih dua pukulan sudut penalti meskipun akhirnya berjaya menjuarai Piala Sumbangsih menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) malam kelmarin.

Sebagai rekod, UniKL mempertahankan gelaran tersebut buat kali kedua berturut-turut selepas menang 4-3 menerusi penentuan penalti shoot-out setelah seri tanpa jaringan dengan TNB dalam tempoh 60 minit sebenar.

“Serangan kami kurang tajam walaupun aspek pertahanan sangat bagus hari ini (malam kelmarin) selepas berjaya mematahkan banyak serangan berbahaya TNB.

“Kami perlu lebih tajam lagi apabila di hadapan gol untuk perlawanan seterusnya. Kami tak boleh kehilangan mata kalau nak pertahankan kejuaraan liga,” kata Megat Azrafiq.

Salah satu perkara dilihat perlu diperbaiki segera adalah situasi mendapatkan pukulan sudut penalti apabila UniKL terpaksa menunggu lama sehingga suku masa ketiga permainan untuk meraih set-piece tersebut ketika menentang TNB semalam.

Bagaimanapun, UniKL perlu memastikan tiada ruang atau percubaan berbahaya dilakukan THT yang berjaya meraih lapan jaringan padang, dua gol pukulan sudut penalti dan satu daripada penalti stroke ketika membelasah Sabah 11-0 pada Khamis lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI