KLUANG – Seramai 10,000 anggota dan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bakal ditugaskan untuk menjayakan program pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, khususnya di kawasan pendalaman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, usaha itu digerakkan serta merta bermula hari ini bagi membantu masyarakat khususnya warga emas, orang kelainan upaya (OKU) mahupun yang kurang arif mengenai internet.
Katanya, anggota dan sukarelawan akan dilengkapkan dengan aset dan peralatan digital bersesuaian bagi pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera ataupun secara manual di Pusat Kesihatan daerah berdekatan.
“Saya mahu perkara ini dimulakan serta merta. Insa’allah bila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan ulang tahun APM ke 69 pada 24 Mac depan. Kita nak tunjukkan kepada masyarakat awam bahawa kita telah menaik taraf dari sudut pengurusan kita.
“Kita akan gerakkan 10,000 anggota dan sukarelawan kita membantu masyarakat khususnya yang berada di luar bandar untuk mendaftar mendapatkan vaksin.
“Aset APM akan digunakan bagi membantu menghantar golongan memerlukan seperti orang kurang upaya (OKU), warga emas dan yang jauh dan tidak kemudahan untuk ke Pusat Kesihatan daerah bagi tujuan pendaftaran mendapatkan vaksin,”katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (PULAPAS) di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Redzuan, langkah itu dijangka mampu meningkatkan jumlah pendaftaran vaksin dikalangan masyarakat.
“Ia sekaligus boleh mencapai matlamat kerajaan agar 80 peratus masyarakat menerima vaksin bagi membendung penularan wabak Covid-19,”katanya.
Pada 24 Februari lalu, kerajaan melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara percuma dengan memberi keutamaan fasa pertama kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau bukan KKM.
Manakala fasa kedua dari April hingga Ogos bagi warga emas berumur 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta OKU.
Sementara fasa ketiga bermula Mei hingga Februari 2022 untuk kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas. – K! ONLINE