JAKARTA – Anak kepada penyanyi Indonesia terkenal, Kris Dayanti, Aurel Hermansyah kini bergelar tunangan kepada kekasih hatinya, Atta Halilintar hari ini.
Majlis pertunangan yang disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen Indonesia, RCTI itu berlangsung di Hotel Intercontinental, Jakarta yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat.
Dalam majlis tersebut, Atta atau nama sebenarnya Muhammad Attamimi Halilintar, 27, membuat lamaran secara terbuka terhadap Aurel di hadapan ahli keluarga lain.
“Saya Atta ke sini untuk melamar anak Bapak Anang, Ibu Ashanty dan Mimi KD (Kris Dayanti).
“Saya secara peribadinya mempunyai banyak kekurangan. Dari sudut hati yang paling tulus, semoga lamaran saya diterima,” ucapnya sebelum menyerahkan sejambak bunga kepada Aurel.
Dalam pada itu, pasangan tersebut juga dilihat beberapa kali menitiskan air mata sepanjang majlis berlangsung.
Usai sesi lamaran, kedua-dua mereka yang sedondon dalam persalinan serba ungu itu saling menyarung cincin antara satu sama lain.
Mengikut perancangan, pasangan sejoli itu bakal disatukan sebagai suami isteri pada 21 Mac depan.
Untuk rekod, Aurel, 23, merupakan anak sulung kepada Kris Dayanti bersama bekas suaminya yang juga komposer dan penyanyi, Anang Hermansyah. – K! ONLINE