HULU TERENGGANU – Seramai 24 pemancing yang dikuarantin di dalam rumah bot di Tasik Kenyir dekat sini semalam apabila salah seorang daripada mereka dikenal pasti sebagai kontak rapat pesakit Covid-19 dibenarkan pulang sebentar tadi.
Mereka dibenarkan menjalani kuarantin di rumah masing-masing setelah dipakaikan gelang khas dalam pemeriksaan oleh anggota Jabatan Kesihatan negeri mulai pukul 1.30 tengah hari tadi.
Selain itu rumah bot yang disewa mereka untuk beriadah di Tasik Kenyir sejak kelmarin juga telah disanitasi.
Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Zalani Endut memberitahu salah seorang daripada rombongan pemancing yang berasal dari Manir, Kuala Terengganu itu telah dipanggil untuk menjalani saringan Covid-19 setelah dikenalpasti sebagai kontak rapat.
Lelaki berkenaan telah menjalani saringan Covid-19 di Hospital Hulu Terengganu di sini pada pukul 5 petang semalam.
Seramai 24 orang rakannya pula tidak dibenarkan keluar dari rumah bot itu buat sementara sehingga prosedur selesai. – K! ONLINE