PUTRAJAYA – Kes jangkitan Covid-19 kembali mencecah dua angka selepas mencatatkan 39 kes baharu melibatkan 28 kes penularan tempatan dan 11 kes import sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 8,943 kes.
Lebih membimbangkan, dua lagi kluster baharu dikesan membabitkan seorang pemastautin tetap yang pulang dari India (kluster PUI Sivagangga) di Kedah dan sebuah pasar di Satok, Sarawak (kluster Satok)
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 28 kes tempatan, 22 adalah warganegara manakala enam bukan warganegara.
Beliau berkata, sebanyak 19 kes dikesan di Sarawak membabitkan warganegara dengan tujuh daripadanya dikesan di kluster Sentosa, empat di kluster Satok dan empat di kluster kejuruteraan Kuching.
“Empat kes lagi di Sarawak dikesan di kluster Mambong, kluster PUI Melbourne, kes saringan pemantauan di pintu masuk lapangan terbang dan kes saringan kendiri yang masing-masing mencatatkan satu kes.
“Baki tiga kes tempatan melibatkan warganegara adalah di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah dan Hospital Lahad Datu serta satu di kluster PUI Sivagangga,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Sementara itu, Noor Hisham memberitahu, 11 kes import adalah dari Arab Saudi, Ireland, Korea Selatan, India, Rusia, Amerika Syarikat, Amerika Selatan, United Kingdom dan Filipina.
“Empat adalah warganegara manakala tujuh bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia,” katanya. -K! ONLINE