PETALING JAYA – Gara- gara takut dicekup polis, seorang lelaki nekad meninggalkan motosikalnya di bahu jalan sebelum melarikan diri ke kawasan semak berdekatan di lorong motosikal kilometer 29.3, susur keluar Lebuh Raya Persekutuan menghala Shah Alam lewat petang tadi.
Lelaki yang disyaki warga asing itu bertindak demikian ketika puluhan penunggang motosikal sedang beratur untuk diperiksa polis menerusi Op Khas Ekzos Bising Bersepadu yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama beberapa jabatan lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Bagaimanapun sehingga pukul 6 petang ketika operasi ditamatkan, lelaki tersebut masih tidak muncul dipercayai bimbang dicekup pihak polis bekemungkinan tiada lesen memandu ataupun tiada pasport.
Menerusi Operasi yang sama juga, seorang lelaki cedera di bahagian kaki selepas motosikalnya merempuh motosikal lain yang berhenti secara mengejut ketika pemeriksaan dijalankan pihak berkuasa.
Pada awalnya, dia disyaki cuba melarikan diri bagaimana dia mengaku gagal mengawal motosikalnya dan merempuh motosikal individu lain di hadapannya.
Timbalan Ketua JSPT Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, menerusi operasi yang bermula kira-kira pukul 5 petang itu, sejumlah 138 saman telah dikeluarkan terhadap penunggang motosikal.
“Kesalahan nombor plat direkodkan paling tinggi iaitu sebanyak 67 saman diikuti tiada lesen memandu dan ekzos tidak mengikut spesifikasi masing-masing 27 dan 21 saman telah dikeluarkan.
“Sebanyak 19 motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan turut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.
Jelasnya lagi, sejumlah 436 buah motosikal dan seramai 392 orang penunggang telah disemak. -K! ONLINE