WARSAW, Poland – Pasangan gay ataupun individu homoseksual dilarang mengambil anak angkat di Poland di bawah undang-undang baharu yang diumumkan kerajaan semalam, lapor saluran televisyen CNA.
Pengumuman tersebut dijangka meningkatkan perseteruan antara Poland dan Kesatuan Eropah (EU) berkenaan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).
Menurut EU, hak golongan LGBT perlu dihormati oleh semua negara anggotanya, namun Poland menyifatkan isu tersebut adalah ancaman kepada budaya Roman Katholik yang menjadi amalan masyarakat negara.
Warsaw juga menganggap perkara itu sebagai isu domestik semata-mata.
Kerajaan Poland mengumumkan larangan pengambilan anak angkat itu beberapa jam sebelum anggota-anggota Parlimennya mengeluarkan resolusi hak golongan gay yang dikatakan bertentangan dengan dasar kerajaan.
Kerajaan Poland yang dikuasai parti berhaluan kanan mengamalkan dasar antigay dalam pemerintahannya.
Poland sebelum ini membenarkan hanya pasangan berlainan jantina ataupun individu lain untuk mengambil anak angkat.
Perubahan dasar diumumkan semalam itu memerlukan pihak berkuasa menapis individu yang mahu mengambil anak angkat dan melarang mereka berbuat demikian sekiranya didapati tinggal bersama pasangan sama jantina. – Agensi