fbpx

AFC putuskan UAE sebagai tuan rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHENG HOE (kanan) memanggil 28 pemain untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selama sembilan hari di Johor Bahru, Johor bermula 22 hingga 30 Mac ini.

EMIRIYAH Arab Bersatu (UAE) akan menjadi tuan rumah untuk baki saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2021 bagi Kumpulan G yang turut dihuni Harimau Malaya dan dijadualkan berlangsung pada 31 Mei hingga 15 Jun depan.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan per­kara tersebut menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam selepas mendapat persetujuan daripada semua negara yang terlibat dalam saingan Kumpulan G.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan semua negara terlibat, AFC akhirnya memutuskan venue untuk baki saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan berlangsung bermula 31 Mei hingga 15 Jun depan.

“Bagi Kumpulan G, UAE telah dipilih untuk menjadi tuan rumah untuk persaingan bersama negara-negara Asia Tenggara lain seperti Thailand, Malaysia, Vietnam dan Indonesia,” kata AFC dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui cabaran besar buat anak-anak buahnya adalah cuaca panas lebih 40 darjah Celcius yang melebihi suhu normal di Malaysia.

“Kami terima dengan baik pemilihan UAE selaku tuan rumah untuk baki saingan kali ini tetapi saya akui ia akan menjadi ujian getir buat pemain ke­rana mereka akan mengha­rungi tiga perlawanan de­ngan cuaca yang cukup panas daripada kebiasaan yang mereka lalui.

“Saya sendiri pernah berada di sana pada musim panas dan suhu normal bagi wilayah itu adalah pada lebih 40 darjah Celcius tidak kira waktu siang atau malam.

“Justeru, semua pemain perlu­ bersedia mental dan fizikal dalam usaha memastikan harapan seluruh penyokong Malaysia untuk menyaksikan pasukan tampil cemerlang di UAE dapat terlaksana,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Skuad Harimau Malaya kendalian Cheng Hoe dijadualkan bertemu dengan UAE pada 3 Jun depan, disusuli aksi menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

Pasukan negara ketika ini menduduki tangga kedua dalam Kumpulan G selepas mengutip sembilan mata dengan melakar tiga kemenangan daripada lima perlawanan.

Jika berjaya mengekalkan momentum di sana nanti, peluang untuk skuad Harimau Malaya melangkah ke pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 sangat cerah.

Berdasarkan perancangan sebelum ini, Cheng Hoe bakal menghimpunkan barisan pemain buat pertama kali sejak 2019 untuk mengadakan kem latihan pusat di Kuala Lumpur bermula 22 Mac depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI