DOHA – Menjelang perlumbaan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Qatar pada hujung minggu ini, Kerajaan Qatar menawarkan suntikan vaksin percuma kepada semua yang terlibat bagi mengekang penularan Covid-19 di negara tersebut.
Qatar akan menganjurkan dua siri perlumbaan MotoGP iaitu pusingan pertama pada 28 Mac dan perlumbaan kedua akan berlangsung pada 4 April nanti berikutan penangguhan perlumbaan di Amerika Syarikat dan Argentina.
Pemegang hak eksklusif televisyen dan komersial MotoGP, Dorna Sports menyambut baik tawaran tersebut dan berterima kasih kepada kerajaan Qatar.
“Qatar telah meningkatkan program pemberian vaksin pada tahun 2021 dan hasilnya Qatar menawarkan semua individu yang terlibat dalam perlumbaan MotoGP nanti untuk menerima suntikan vaksin.
“Ia adalah untuk memastikan kesihatan dan keselamatan keseluruhan ketika mereka berada di Qatar.
“Semua individu termasuk pelumba dan mereka yang terlibat dalam perlumbaan berkenaan termasuk mereka yang berada dalam hentian pit MotoGP turut menerima tawaran Vaksin tersebut.
“Program pemberian vaksin ini bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan diri semua mereka yang berada di lokasi.
“Pemberian vaksin tersebut menawarkan perlindungan yang lebih tinggi selain mampu mengekang penularan dan memastikan perlumbaan berjalan lancar.
“Dorna Sports dan beberapa agensi lain ingin mengucapkan terima kasih kepada Qatar kerana menawarkan peluang luar biasa ini kepada keluarga besar MotoGP, yang akan membantu meminimumkan sebarang risiko untuk masa depan perlumbaan ini,” kata Dorna dalam satu kenyataan semalam.
Bulan lalu, dunia MotoGP dikejutkan apabila pemilik pasukan Gresini, Fausto Gresini disahkan maut selepas bertarung nyawa apabila dikesan dijangkiti Covid-19.
Ketika ini hanya tiga pelumba MotoGP pernah dijangkiti wabak pembunuh tersebut iaitu Valentino Rossi, Fabio Quartararo dan Iker Lecuona.
Dalam pada itu, perlumbaan Formula Satu (F1) turut mendapat tawaran vaksin dari Kerajaan Bahrian, namun pengelola perlumbaan tersebut menolak pemberian tersebut kerana enggan mencetuskan kontroversi kemungkinan berlaku pemotongan giliran. –AGENSI