JOHOR BAHRU – Seorang lelaki terpaksa mendapatkan bantuan pihak bomba selepas cincin yang dipakai di jari manis tangan kanan tersekat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Riduan Akhyar berkata, mangsa berusia 25 tahun itu telah datang ke sebuah Poliklinik Puteri di Taman Sri Skudai hari ini selepas usaha mengeluarkan cincin berkenaan gagal.
Katanya, usaha lelaki tersebut gagal disebabkan tangan kanannya membengkak setelah dia terlibat dalam kemalangan motosikal tiga hari yang lalu.
“Pihak poliklinik menghubungi kami pada pukul 10.44 pagi setelah tidak berjaya membantu mangsa mengeluarkan cincin yang tersekat di jari manisnya.
“Pihak bomba kemudiannya menggunakan peralatan khas bagi memotong cincin berkenaan sebelum berjaya ditanggalkan dalam tempoh kira-kira 15 minit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Riduan, mangsa sudah lama memakai cincin tersebut dan tidak pernah mengalami masalah seperti itu sehinggalah tangannya membengkak disebabkan terjatuh motosikal.
“Mangsa mendakwa telah cuba pelbagai kaedah termasuk menggunakan sabun namun gagal sebelum terpaksa meminta bantuan dari anggota bomba.
“Operasi disertai 11 anggota itu tamat pada pukul 11.20 pagi tadi dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.- K! ONLINE