PUTRAJAYA – Kira-kira 4,000 ahli farmasi komuniti di Malaysia bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam fasa pertama Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, perkara itu dipersetujui beliau dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) Bil 6/2021 yang diadakan semalam.
“Mesyuarat bersetuju untuk memasukkan ahli farmasi komuniti di dalam Kategori 2, Garis Panduan Penetapan Senarai Petugas Barisan Hadapan Bagi PICK.
“Kategori 2 ini merujuk kepada anggota petugas barisan hadapan yang terlibat dalam sektor kesihatan, agensi pertahanan, anggota keselamatan dan perkhidmatan penting,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Adham berkata, keputusan itu adalah susulan permohonan daripada Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan Malaysian Community Pharmacy Guild (MCPG).
Sebelum ini, Presiden MPS, Amrahi Buang berkata, ahli farmasi wajar dipertimbangkan menjadi antara penerima vaksin Covid-19 memandangkan mereka juga terdedah kepada virus yang dibawa pelanggan dan pesakit yang berkunjung ke farmasi komuniti. – K! ONLINE