Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak menjangkakan anak-anak buahnya tidak akan berdepan laluan mudah bagi mengutip tiga mata penuh menjelang aksi menentang Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang malam ini.
Menurutnya, sebagai pendatang baharu Liga Super musim ini, Penang FC dilihat sentiasa bersungguh-sungguh bagi membuktikan kemampuan mereka.
“Bermain di gelanggang sendiri pastinya menjadikan Penang FC beraksi habis-habisan bagi mengutip mata penuh. Tetapi kami akan cuba melaksanakan segala yang dirancang.
“Kami bermain dua perlawanan persahabatan dengan mereka sebelum liga bermula di Stadium Darul Aman dan Stadium Negeri Batu Kawan sebelum ini.
Namun, saya tidak mahu banyak berbicara tentang mereka kerana mahu fokus kepada pasukan sendiri,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar semalam.
Dalam dua perlawanan pra-musim melibatkan kedua-dua pasukan sebelum ini, KDA FC dan Penang FC terlebih dahulu terikat 1-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar sebelum Harimau Kumbang menang 3-1 ke atas skuad Hijau Kuning di Stadium Negeri Batu Kawan.
Sementara itu, penyerang berbisa KDA FC, Kpah Sherman memberitahu, dua perlawanan pramusim menentang Penang FC sebelum ini membantu mereka memahami corak permainan pasukan lawan.
“Dalam perlawanan persahabatan kedua itu, kami terlebih dulu menjaringkan gol dan berada di depan. Kemudian beberapa pertukaran dibuat dan akhirnya mereka mula membuat jaringan dan menewaskan kami.
“Itu cuma persiapan pramusim dan esok adalah pentas sebenar. Jadi kami perlu fokus sepanjang 90 minit dan berusaha sebaik mungkin bagi mendapatkan tiga mata penuh di tempat lawan,” katanya.