PETALING JAYA – Dutch Lady Milk Industries Bhd. (DLMI) bercadang untuk menjual tapak kilangnya di Petaling Jaya (PJ), Selangor kepada UEM Land Bhd. pada nilai RM200 juta, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.
Produk tenusu halal DLMI telah dihasilkan menerusi fasiliti di PJ sejak tahun 1963.
Pengarah Urusannya, Tarang Gupta berkata, pihaknya akan meneruskan pengeluaran di PJ sehingga fasiliti baharunya di Bandar Enstek, yang lebih besar dan sofistikated siap sepenuhnya kira-kira tiga tahun lagi.
“Kami optimis terhadap prospek tinjauan perniagaan dan pemulihan ekonomi domestik serta pasaran luar negara.
“DLMI akan terus menggunakan strategi baharu untuk memastikan kesinambungan perniagaan dan mengukuhkan kedudukan sebagai syarikat tenusu terkemuka di Malaysia,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Selepas proses penjualan selesai, DLMI akan menyewa tapak tersebut daripada UEM Land sementara menunggu fasiliti baharunya siap.
Pada Mac tahun lalu, syarikat telah mengumumkan langkah meningkatkan keupayaan pengeluarannya dengan membeli tanah berukuran 13.18 hektar, bernilai RM56.79 juta di taman teknologi halal Bandar Enstek HALMAS.