MENGETENGAHKAN pelakon dan pengacara bermulut lantang, Didie Alias yang kali pertama bergabung dengan Pink Azwan, sebuah program majalah hiburan terbaharu berjudul Lahar Net kini menemui penonton.
Menariknya, Didie dan Pink akan mengupas isu-isu semasa yang panas, kontroversi dan tular bersama barisan selebriti jemputan berlainan setiap minggu.
Ini bukanlah kali pertama Didie menjadi pengacara, namun Lahar Net bakal menguji kecekapan Didie kerana melibatkan cara penyampaian secara kecaman yang spontan.
“Lahar Net ialah program yang sangat menarik dengan konsep yang sangat berlainan. Ia membongkar kebenaran tentang sesuatu isu atau perkara yang tiba-tiba tular kepada penonton.
“Sebelum ini, warga maya hanya tahu menghukum sebelum mengetahui perkara sebenar. Saya harus berdiri, mewakili rakan-rakan artis untuk menjernihkan situasi,” jelas Didie yang baru-baru ini menjadi fenomena dengan karakter antagonis menerusi drama Takdir Yang Tertulis.
Apabila bertanyakan tentang kesan terhadap dirinya apabila menyahut cabaran ini, Didie menjelaskan dia sudah biasa dikecam kerana itu adalah lumrah menjadi anak seni.
Apa sahaja yang dilakukan, mungkin ada sahaja pihak yang tidak suka atau tidak bersetuju. Situasi sebegitu bagaimanapun bukan satu masalah kepada Didie kerana dia sedia menerima sebarang kecaman.
“Itulah sebabnya Lahar Net diwujudkan kerana akan membantu kami, anak-anak seni untuk menjelaskan keadaan, tetapi jika netizen tetap mahu kecam, silakan,” ujarnya.
Tanggungjawab Pink Azwan sebagai pengacara bersama pula dianggapnya sebagai rezeki.
“Lahar Net tercetus hasil perbincangan bersama penerbit, konsepnya ialah program dengan kandungan tular bertujuan mendapatkan jawapan artis yang dikecam hebat dalam media sosial.
“Jika sesuatu isu itu menjadi tular,saya tertanya-tanya apakah jawapan mereka. Persoalan inilah yang mencetuskan idea dan konsep untuk Lahar Net,” kata Pink.
Tambahnya, Lahar Net bukan bertujuan memarakkan api kontroversi sebaliknya memberi ruang kepada sesiapa sahaja yang terlibat menjelaskan hal sebenar, sekali gus mengelak peminat membuat andaian serta menghukum mereka.
Lahar Net bersiaran menerusi Awesome TV di saluran 123, Astro atau 112, MyTV.