MANAMA – Sebahagian besar kru pasukan Ferrari telah menerima tawaran daripada Bahrain untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 menjelang sesi ujian rasmi perlumbaan Formula Satu (F1) yang membuka tirai pada penghujung bulan nanti.
Difahamkan, 90 peratus ahli pasukan Ferrari telah bersetuju untuk menerima tawaran suntikan vaksin tersebut sebaik sahaja mereka tiba di negara itu dan ia tidak mendapat sebarang bantahan daripada pihak keselamatan Itali di mana negara itu menjadi pangkalan bagi pasukan berkenaan.
Sehingga kini tiada kenyataan rasmi daripada pasukan dari Itali tersebut meskipun pengelola perlumbaan F1 sebelum ini menolak tawaran Bahrain kerana enggan mencetuskan kontroversi apabila sedar rakyat di negara itu perlu diberikan keutamaan.
Ketua pasukan Mercedes F1, Toto Wolff yang dijangkiti wabak tersebut sebelum ini menjelaskan bahawa suntikan vaksin adalah hak individu dan proses pemberian vaksin atau penerimaan bukan diputuskan oleh pasukan.
“Mengenai suntikan vaksin tersebut, ia adalah keputusan peribadi dan bukan ditentukan oleh pasukan sendiri,” kata Wolff baru-baru ini.
Itali ketika ini mencatatkan kira-kira 100,000 kematian akibat pandemik Covid-19 sejak Februari tahun lalu dan merupakan kematian kedua tertinggi di Eropah selepas Britain.
Terdahulu, Bahrain memberi tawaran kepada semua yang terlibat dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain termasuk sesi ujian rasmi di negara tersebut untuk mendapatkan suntikan vaksin tersebut dan dos kedua akan diterima selepas berakhirnya perlumbaan pada 28 Mac nanti. – AGENSI