PUTRAJAYA – Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (Japas) diaktifkan semula bagi menangani isu ancaman akidah dan ajaran sesat di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh.
“Bagi memastikan segala tindakan dan gerak kerja menangani isu ancaman akidah dan ajaran sesat dapat berjalan dengan teratur serta berstrategi, saya telah mengarahkan Jakim supaya mengaktifkan kembali Japas.
“Ketua Pengarah Jakim akan mempengerusikan jawatankuasa ini yang turut dianggotai oleh Jabatan Agama Islam Negeri serta agensi penguatkuasaan berkaitan sama ada peringkat negeri atau persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook hari ini.
Beliau berkata, jawatankuasa itu akan bermesyuarat secara berkala untuk merangka tindakan bersepadu bagi menangani isu-isu ancaman akidah secara efektif dan komprehensif.
Sebelum ini, Zulkifli berkata Jakim sentiasa bermuzakarah dengan pihak berkuasa agama negeri sebelum memfatwakan sesebuah ajaran itu sebagai sesat atau sebaliknya.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan tindakan yang akan diambil adalah tepat dan tidak dianggap gopoh atau kekurangan maklumat. -K!ONLINE